Salam...

"Personal musing inspired by past and ongoing experiences of my life…depicting how I feel and what comes hereafter. However it may also revolves around my personal whishes, hopes and beliefs which I often in doubt and wondering... what is the meaning of life.."

Total Pageviews

Followers

Thursday, September 11, 2014

Pensyarah saya menulis: Undang-undang dan pertumbuhan ekonomi




Oleh: Prof Datuk Dr Norma Mansur

Sistem undang-undang di Malaysia sudah beberapa kali menjalani transformasi sejajar perkembangan norma masyarakat dan keperluan tempatan. Kedaulatan undang-undang adalah konsep multi dimensi yang mencerminkan pelbagai perspektif yang berakar umbi daripada budaya, politik, institusi dan konsep keadilan masyarakat. Namun, bagi mencapai pertumbuhan ekonomi, kerajaan mengakui betapa pentingnya kedaulatan undang-undang.
 
Undang-undang ialah apa juga peraturan, piawaian dan norma bertujuan memastikan keadilan. Keadilan penting untuk kebajikan masyarakat dan mewujudkan persekitaran kondusif untuk pembangunan ekonomi dan kemajuan negara.
 
Kedaulatan undang-undang penting untuk pembangunan kerana ia memastikan keselamatan diri melalui sistem sosial dan ekonomi yang adil, menjamin keselamatan harta dan penguatkuasaan kontrak, melalui sistem yang mengimbangi kuasa dengan mengukuhkan akauntabiliti serta memastikan tadbir urus yang baik.
 Ia juga menggalakkan pertumbuhan ekonomi melalui penghapusan rasuah dan tindakan pihak swasta mengaut keuntungan sewenangnya dengan mengetepikan kebajikan pengguna. Dengan kata lain supaya pengagihan sumber dan perkhidmatan adil dan saksama.
 
Kekalkan undang-undang
 
Fokus utama kedaulatan undang-undang untuk mengekalkan undang-undang dengan mencegah, mengurangkan dan menghalang konflik, jenayah dan keganasan bagi membolehkan pertumbuhan ekonomi. Untuk memastikan pembangunan mapan, kedaulatan undang-undang perlu diperluaskan kepada perlindungan alam sekitar dan sumber semula jadi.
 
Namun, amat penting untuk memastikan undang-undang dan peraturan adalah jelas, relevan dan dikuatkuasakan dengan berkesan. Sebagai sebuah ekonomi terbuka, peranan undang-undang menjadi lebih penting. Kita mesti memastikan sistem undang-undang kita berkesan untuk persaingan adil dan saksama. Ia bagi memelihara integriti pasaran untuk mengukuhkan kelebihan daya saing perniagaan.
Kerajaan hanya ada satu medium untuk memastikan kestabilan terjamin, iaitu penguatkuasaan undang-undang dan peraturannya. Apabila kerajaan campur tangan dalam pasaran, ia perlu mengimbangi keperluan mengawal dan memastikan pematuhan, di samping memberi ruang atau fleksibiliti bagi membolehkan perniagaan berkembang. Mewujudkan struktur undang-undang yang mengambil kira kepentingan kedua belah pihak ini adalah amat mencabar.
 
Dalam keghairahan memastikan wujudnya peraturan, kerajaan memperkenalkan pelbagai undang-undang bertujuan memandu dan mengarahkan cara menjalankan kehidupan dan usaha ekonomi. Ada kalanya undang-undang dan peraturan diperkenalkan boleh menyekat kreativiti dan motivasi.
 
Ia juga boleh membebankan rejim pengawalseliaan dan berlakunya pertindihan kerana setiap pihak berkuasa ingin menjaga sempadan kuasa masing-masing. Keadaan bertambah buruk jika peraturan tidak telus dan kurang jelas. Akibatnya tafsiran adalah mengikut budi bicara dan memberi ruang kepada mengelakkan pematuhan. Undang-undang hampir sama dan kadang-kadang bercanggah pula boleh melemahkan penguatkuasaan, sekali gus menimbulkan keraguan mengenai keberkesanan kerajaan.
 
Kurangkan peraturan
 
Kerajaan sudah mengambil langkah mengurangkan peraturan dan menyedari pentingnya peraturan dan undang-undang mesra pasaran. Namun, peraturan dan ketetapan undang-undang boleh menyediakan rangka kerja tertentu dan telus bagi urusan perniagaan. Ia juga menggalakkan akauntabiliti dalam urusan perniagaan.
 
Undang-undang dan peraturan hanya berkesan jika ia dapat dipatuhi semua pihak. Pelaksana undang-undang dan peraturan mesti dilatih, dilengkapi pengetahuan dan sikap yang betul. Mereka perlu arif bukan sahaja yang tersurat tetapi juga yang tersirat. Ini bagi memastikan mereka tahu tugas mereka. Jika pelaksana kurang arif dan berlaku kesilapan dalam penguatkuasaan undang-undang, kesannya adalah reputasi dan kredibiliti kerajaan.
 
Tindakan pantas ke atas pihak yang melanggar undang-undang juga adalah mustahak. Jika ada persepsi, ada yang boleh terlepas daripada undang-undang, ia seolah-olah memberi isyarat melanggar peraturan boleh diterima. Ia juga bermakna kerajaan tidak serius undang-undang yang diperkenalkannya.
 
Bagaimana pula dengan organisasi dan entiti perniagaan? Sering kita dengar undang-undang bagi mereka amat membebankan dan rumit untuk dipatuhi.
 
Undang-undang digubal untuk memelihara dan melindungi kepentingan semua. Ramai yang mematuhi peraturan, tetapi kerap juga yang cuba mengelakkan pematuhan atau dengan harapan tidak ditangkap oleh penguat kuasa.
 
Peraturan keselamatan, tidak kira orang awam atau pekerja adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan. Adalah tidak melampau jika dikatakan mematuhi undang-undang dan peraturan adalah manifestasi semangat patriotisme dan cintakan negara. Selamat musim Kemerdekaan!
 
Sumber: Berita Harian
 
* Penulis ialah Profesor di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya.

No comments:

Kadang-kadang

Kadang-kadang apabila realiti tidak menjadi, muncullah fantasi...

Home